Monday, January 28, 2008

Asal Usul Kemahang

Kampung Kemahang dibuka pada tahun 1708 oleh Panglima Gantang Haji Syed Abd Rahman apabila hubungan di antara Pahang dan Johor kembali pulih setelah sekian lama retak selepas Sultan Abdul Jalil Syah II (1623-1677) menyerang Pahang pada tahun 1638 menyebabkan ramai yang terbunuh. Hubungan Pahang dan Johor pulih semula selepas tahun 1641 apabila Sultan Abdul Jalil Syah II melantik sepupunya Raja Bajau (Putera Sultan Abdullah Maayat Syah) sebagai Yamtuan Muda di Pahang. Panglima Gantang Haji Syed Abd Rahman adalah keturunan Tun Ibrahim, anak kepada Sultan Abdul Jalil Syah II.

Semasa adik kepada Tun Ibrahim iaitu Tun Abbas menjadi Bendahara yang memerintah di Pahang, Panglima Gantang telah mudik di sungai Pahang melalui sungai Jelai terus ke sungai Lipis, sungai Rengai, sungai Kemahang mudik sehingga sungai Asah. Oleh kerana sungai itu semakin ke hulu semakin sempit perahu tongkang beliau terkandas di muara sungai Asah. Setelah sekian lama rangka perahu tongkang masih lagi dapat dilihat di situ.

Nama Kemahang diberi bersempena dengan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai kemahang (colocasia) atau biasanya dipanggil keladi. Sehingga kini masih terdapat pelbagai spesis keladi di Kemahang. Keladi jenis kemahang juga terdapat di kampung-kampung berhampiran seperti Budu, Tanjung Besar, Chat, dan Peruang. Keladi kemahang juga boleh dibeli di pekan sari Benta pada setiap ahad. Keunikan keladi jenis kemahang di Kemahang ialah ianya tidak berasa gatal apabila dimakan. Sekiranya dimakan dan terasa gatal maka sahlah bukan keladi yang ditetak (dipetik) dari Kampung Kemahang.

Mengikut lagenda, puak Panglima Gantang telah berperang dengan puak orang asli diketuai oleh Tok Batin Piah yang tinggal di Bukit Taching iaitu di kaki Bukit Raya. Pokok asam jawa yang ada sekarang adalah sempadan di antara dua puak. Orang asli telah menggunakan getah keladi untuk menuba air sungai Kemahang sehingga menjadi racun bagi sesiapa yang meminumnya. Air tersebut telah terminum oleh anak Panglima Gantang yang kacak dan tampan yang ketika itu sedang bercinta dengan anak perempuan Tok Batin yang tidak kurang cantik menawan. Laksana Romeo dan Juliet, demi cinta, anak perempuan sanggup minum air yang beracun itu. Nama Kemahang diberi setelah keladi kemahang yang beracun pada ketika itu telah ditawar oleh Panglima Gantang.

Mengikut kajian ekologi pula, Kemahang mempunyai sumber air bumi yang mengandungi kandungan mineral yang cukup tinggi dan tulen serta menghasilkan tumbuhan yang amat segar termasuk keladi sehingga tidak merasa gatal jika dimakan. Jalan Bukit Gantang pula diberi sempena nama Panglima Gantang

1 comment:

heretic preacher said...

salam...
rumah arwah atuk saya adalah di kemahang... hj jamal rumah atas bukit sebelum bukit tuba... lama dah tak gi rumah tu, rasenye ada sdara yang duduk...